Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berperanan penting membantu pihak sekolah melaksanakan pelbagai program. Ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan 1996, ia adalah badan sukarela yang dibentuk di semua sekolah kerajaan sebagai permuafakatan antara ibu bapa dan guru.
PIBG juga dilihat sebagai sumber maklumat antara pihak sekolah dan ibu bapa selain di situ juga perbincangan dua hala mengenai perancangan meningkatkan prestasi akademik juga pembangunan kokurikulum berlaku.
Secara asasnya, walaupun sekolah mempunyai perancangannya, namun PIBG yang aktif dan kreatif mampu menzahirkan pelbagai idea termasuk penjanaan kewangan demi membantu menjayakan aspirasi pengurusan.
Namun sebahagian proses menjayakan pelbagai perancangan itu, peranan PIBG dalam penjanaan kewangan itu amat penting. Wang ini digunakan untuk melancarkan program sekolah yang bertujuan untuk kepentingan murid.

Alangkah bertuahnya bagi sekolah yang sudah lama ditubuhkan dan memiliki alumni berjaya sebagai ahli korporat, profesional atau pemimpin politik. Mereka ini sentiasa bersedia tampil membantu sekolah tempatnya menimba ilmu zaman kanak-kanak dan remaja.
Bagi sekolah baharu yang belum memiliki alumni, soal penjanaan kewangan ini mungkin sukar. Dalam hal inilah, barisan kepemimpinan PIBG yang diamanahkan perlu kreatif, inovatif dan bermotivasi untuk memajukan sekolah.
Diakui hal ini lebih berat bagi sekolah baharu atau yang tidak begitu sempurna prasarananya.
Ditambah pula dengan faktor ketiadaan dana yang cukup untuk memajukan dan merangsang pencapaian pelajar.
Guru dan pentadbiran sekolah sentiasa meletakkan harapan yang tinggi terhadap PIBG untuk tampil membantu termasuk sumbangan peruntukan untuk melancarkan program sekolah.